Info Hang Tuah Jaya

Image

Melaka ialah sebuah negeri yang terkenal dengan sejarahnya. Melaka terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia serta bersempadan dengan Negeri Johor dan Negeri Sembilan. Negeri ini ialah negeri yang kedua terkecil selepas Perlis. Keluasannya cuma 1,657 kilometer persegi. Panjangnya dari utara ke selatan ialah 40 kilometer dan lebarnya dari barat ke timur ialah 69 kilometer. Menurut catatan sejarah, nama Melaka telah lama wujud iaitu daripada nama kesultanan yang diasaskan oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Syah.

Daripada catatan pedagang Cina yang datang ke Melaka, sudah ada tempat dagangan bernama Melaka. Nama Melaka juga ada disebut dalam 'Syair Jawa' bertarikh 1324. Melaka disebut sebagai negeri yang bernaung di bawah Siam dalam tahun 1360. Nama Melaka pertama kali dikesan penggunaannya adalah pada abad ke -14. Terdapat pelbagai cerita tentang bagaimana Melaka mendapat namanya.Walaubagaimanapun, cerita yang diterima umum ialah cerita yang mengaitkan nama itu dengan sebatang pokok yang disebut pokok Melaka. Menurut cerita sewaktu Parameswara sedang memburu, tiba-tiba seekor pelanduk putih dengan gagahnya menendang anjing baginda hingga jatuh ke laut. Baginda terpegun dengan peristiwa ganjil itu lantas berpendapat bahawa tempat itu sangat sesuai untuk dijadikan tapak negeri. Mengikut kepercayaan orang Melayu pada zaman itu, kejadian ganjil seumpama itu melambangkan permulaan suatu pekerjaan yang akan menghasilkan kejayaan. Baginda memerintahkan supaya sebuah negeri dibuka dan negeri itu dinamakan Melaka, mengambil sempena nama pokok tempat baginda sedang berteduh ketika berlakunya peristiwa ganjil itu.

Selain itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa Melaka berasal dari perkataan 'Malagas'. Menurut Gasper Correa, penulis sejarah pada tahun 1551 mengatakan bahawa Parameswara melarikan diri ke Melaka, didapati sudah ada penempatan orang Melayu asli dan orang Laut. Baginda mendapati di muara sungai itu ada sebuah perkampungan nelayan di mana penduduknya melakukan kerja membuat ikan masin untuk dijual kepada pedagang-pedagang yang datang dari luar. Tempat itu dikenali sebagai 'Malagas' atau 'Mulagas', sempena namanya sebagai pusat menjual ikan masin. Dalam buku 'Suma Oriental', nama Melaka dikatakan berasal daripada perkataan 'Malaya' yang bermaksud 'tempat perlindungan'. Menurut cerita, semasa Parameswara sampai ke Muar, sekumpulan Orang Selat telah bertemu dangan baginda dan memohon supaya baginda merajai mereka di suatu tempat yang lebih sesuai iaitu di Bertam lalu Parameswara bertitah kepada mereka, "kamu semua tahu dalam bahasa kita,seseorang yang melarikan diri itu dipanggil 'Melayo', oleh itu baiklah tempat ini dipanggil 'Malaya' kerana tempat ini tempat perlindungan kita". Pendapat lain pula mengatakan bahawa nama Melaka berasal daripada 'mirabolanos' iaitu sejenis buah yang dikeringkan. Nama Melaka juga dikaitkan dengan 'Malayakolam' atau 'Malayaka' yang bererti 'negeri orang Melayu'. Nama itu juga mempunyai persamaan dengan nama satu suku yang terdapat di India yang pernah disebut dalam cerita 'Mahabhrata'. Kedudukan geografinya yang strategik iaitu di Selat Melaka menyebabkannya menjadi pusat tumpuan pedagang dari luar yang singgah di Melaka.

Oleh itu, pedagang Arab memanggil bandar pelabuhan itu 'Mulagah' yang bererti 'tempat berjumpa'. Kadang-kadang tempat itu dipanggil 'Multaqam' (tempat berkumpul) kerana semua pedagang dari timur dan barat berkumpul dan berjual beli di situ. Ada juga yang menyebut Melaka sebagai'malakat' atau 'malaqqa' yang bererti 'pasar' atau 'tempat berniaga'. Pengasas negeri Melaka ialah Parameswara di mana baginda ialah anak raja Srivijaya yang berasal dari Palembang. Baginda terbabit dalam satu pemberontakan di Sumatera menentang kerajaan Majapahit. Setelah gagal dalam pemberontakan itu baginda lari untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh angkatan Majapahit. Akhirnya baginda sampai di Temasik (nama lama bagi Singapura). Ketibaan baginda disambut oleh pemerintah Temasik iaitu Temagi. Temagi adalah wakil pemerintah kerajaan Siam yang memerintah di situ. Malangnya, Parameswara berniat jahat terhadap Temagi. Temagi mati dibunuh oleh Parameswara dan kematian Temagi itu dituntut bela oleh Siam. Parameswara dan pengikut-pengikutnya terpaksa melarikan diri sehingga sampai ke suatu tempat yang akhirnya dinamakan Melaka. Tarikh pembukaan Melaka adalah sekitar tahun 1402.

Pin It

qrcode mphtj.gov.myMajlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),
SF-01, Aras 2, Kompleks Melaka Mall,
Jalan Tun Abdul Razak - Lebuh Ayer Keroh,
Hang Tuah Jaya, 75450, Ayer Keroh,
Melaka Darul Azim, Malaysia.

Talian Am 1 : +606 - 232 3773
Talian Am 2 : +606 - 232 2778

e-Mel : admin@mphtj.gov.my

Waktu Operasi : Isnin - Jumaat (8:00am - 5:00pm)

  • Kemaskini Terakhir : Rabu 11 Disember 2024.
01868148
Today: 166

Portal Rasmi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd

MELAKAPAY

privasi

Statistik transaksi Pindahmilik Nama di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)